Memahami Konsep Pengurusan Islam
Sebagaimana yang kita maklum, sistem pengurusan Islam adalah lengkap dan sistematik di mana ia berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Prinsip pengurusannya jelas, penyusunan dan perancangan pengurusan yang teratur, pengawasan yang meyeluruh dan terperinci, dan motivasi yang mempunyai asas yang kukuh untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan tidak semata-mata kebendaan dan keduniaan sahaja.
Definisi Pengurusan Islam
Di dalam pengurusan Islam , terdapat beberapa sarjana-sarjana Islam telah mengutarakan definisi pengurusan. Di antaranya :
Pengurusan sebagai satu kajian ilmiah terhadap bakat dan kebolehan serta kemahiran seseorang menjadi pengurus.
Profesor Syed Othman Alhabshi
Pengurusan merupakan suatu proses mendapat dan mencantumkan sumber-sumber kewangan, modal, tenaga manusia dan sebagainya untuk mencapai matlamat organisasi sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan.
Model Pengurusan Rasullah
Model pengurusan yang ditunjukkan Rasulullah SAW berdasarkan kepada empat perkara utama.
Pertama
Berdasarkan sifat as siddiq (benar). Dia adalah pemimpin yang senantiasa berkata benar. Perkataan yang benar di dalam Al Quran diulang berkali-kali dengan maksud, kebenaran perkataan itu akan melahirkan komunikasi antara manusia secara sihat. Malah bukan sahaja benar dalam perkataan, bahkan dalam tindakan dan perasaan.
Apabila tiada sifat benar, maka hilanglah kepercayaan. Tiada siapa yang akan berurusan dengan orang yang tidak dipercayainya. Di sinilah kejayaan baginda yang sedari kecil dikenali sebagai al amin, (yang dipercayai).
Hal ini terserlah ketika dia bekerjasama bisnes dengan Siti Khadijah. Baginda menunjukkan bagaimana cara bisnes yang benar dan bagaimana sebuah bisnes dibangunkan atas dasar kepercayaan.
Di waktu itu, kepercayaan merupakan modal utamanya dalam perniagaan. Ternyata usahanya berhasil dan hingga kini dunia usahawan mengakui bahawa bisnes tanpa kepercayaan adalah omong kosong belaka.
Kedua
Didasarkan pada sifat al amanah. Pengurusan yang amanah adalah cara pengurusan yang mampu memenuhi keperluan masyarakat. Adanya rasa amanah akan menimbulkan rasa aman. Sebaliknya, menipisnya rasa amanah akan menimbulkan keresahan dan ketidaksabaran sosial. Jadi, jangan berharap akan ada ketenteraman dan perubahan bila pimpinan sebuah organisasi atau bangsa sudah tidak lagi memiliki sifat amanah.
Kerana pentingnya amanah ini, pernah disebut dalam sebuah hadis, seorang Arab Badwi bertanya, “Bilakah tibanya kiamat?” Nabi SAW lalu menjawab, “Apabila amanah diabaikan maka tunggulah kiamat.” Orang itu bertanya lagi, “Bagaimana hilangnya amanah itu, ya Rasulullah?” Nabi SAW menjawab, “Apabila perkara (urusan) diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” (HR. Bukhari)
Kiamat itu dapat diterjemahkan secara luas misalnya kiamat ekonomi, kiamat politik, kebudayaan, peradaban, hancurnya langit dan bumi, hasil dari orang-orang yang tidak berpegang kepada amanah, atau menyerahkan urusan kepada orang yang tidak berkelayakan. Apakah kita berharap terjadinya kiamat-kiamat tersebut?
Allah SWT. berfirman: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya”. [An-Nisa’ :4: 58].
Ketiga
Didasarkan pada sifat at-tabligh. Fungsi kepemimpinan atau pengurusan adalah untuk menyampaikan apa-apa yang memang patut disampaikan kepada masyarakat secara jujur. Sifat ini adalah keterbukaan dalam pengurusan.
Contohnya apabila keadaan ekonomi gawat, katakanlah gawat. Jangan disembunyikan sebarang fakta yang perlu diketahui umum.
Sifat tabligh ini hanya dimiliki oleh seorang pemimpin yang benar-benar tidak punya kepentingan diri dalam kepemimpinannya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "“Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim)
Keempat
Didasarkan pada al-fatonah (kebijaksanaan). Dengan kebijaksanaannya, baginda Rasulullah SAW tidak hanya sebagai pemimpin yang hanya berwawasan, tetapi ia mampu membuktikan setiap visinya dalam tindakan dan kehidupan. Pengurusan hidup yang seperti inilah sepatutnya diteladani umat Islam dalam menguruskan diri, keluarga, masyarakat, organisasi malah negara.
Jika diperhalusi sifat-sifat teras di atas, dari sana lahir sifat mulia yang berkembang dalam kehidupan setiap hari. Antara yang lahir di sini adalah sifat adil. Dalam sebarang pengurusan, tindakan perlu adil dan seimbang.
Hal ini tercermin dalam sabda Nabi: "Seandainya anakku Fatimah mencuri, maka aku sendiri yang akan memotong tangannya.''
Sikap adil ini menjadi unsur utama dalam memulai satu pembaharuan pengurusan. Perubahan sukar berlaku apabila penegakan hukum tidak dapat dilakukan. Adanya undang-undang adalah untuk kemaslahatan masyarakat. Orang yang bersalah selayaknya mendapatkan hukuman yang setimpal. Jangan sampai orang yang betul-betul bersalah, bertahun-tahun melakukan kesalahan yang nyata, dibiarkan begitu saja bahkan dibela terus.
Namun keadilan tidak akan wujud tanpa iman. Kerana itu Rasulullah hadir untuk mengenalkan manusia kepada Tuhan yang Maha Esa, Allah SWT. Setiap masa dan ketika Rasulullah menceritakan tentang Allah dan hari Akhirat. Tentang kebesaran, kesucian dan kekuasaan-Nya. Tentang kasih sayang, keampunan dan belas ihsan-Nya. Tentang kuasa dan iradah-Nya dan tentang segala-gala sifat yang ada pada Tuhan.
Segala sifat Allah itu sangat-sangat dihayati oleh para Sahabat hingga mereka menjadi cukup kenal dengan Tuhan. Bukan setakat tahu, tetapi cukup kenal. Mereka menjadi orang-orang yang arifbillah. Hati-hati mereka cukup hampir dengan Allah, cukup sensitif dan peka dengan Allah SWT. Mereka cukup terangsang dengan kebesaran dan keagungan Allah.
Akhirnya jadilah para Sahabat, orang-orang yang sangat cinta dan takut kepada Tuhan. Dalam hidup mereka, Allahlah yang menjadi perkara utama. Allahlah yang bertakhta di hati-hati mereka.
Setelah diperkenalkan manusia kepada Tuhan, Rasulullah berjuang membawa manusia agar mencintai dan mentaatiNya. Apabila Allah turunkan perintah-perintah dan hukum, amat mudah dituruti tanpa banyak soal, kerana mereka yang beriman itu telah kenal dengan Pencipta hukum itu.
Kelahiran Rasulullah SAW ke muka bumi pada hakikatnya adalah kelahiran sebuah peradaban baru. Ia berjuang meningkatkan taraf hidup rohaniah dan moral suatu bangsa yang tenggelam dalam kebiadaban.
Baginda sebenarnya tidak hanya sosok jasmani dan rohani sebagai manusia, tetapi adalah manifestasi dari nilai-nilai ilahiah itu sendiri. Ketenangan dan keberhasilan perjuangan baginda adalah bukti kebenaran itu mampu mengalahkan kejahatan meskipun jalan perjuangannya panjang.
Kerana itu ketaatan kepadanya adalah mutlak, sebab ketaatan tersebut bukan hanya ketaatan pada peribadi bahkan pada nilai.
Sabda Baginda maksudnya: "Tidaklah seseorang itu dikatakan beriman hingga aku lebih dicintai daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia." (Hadis riwayat Bukhari)
Rasulullah diutus oleh Allah ke muka bumi untuk melaksanakan tugas yang sangat berat. Inti kerasulannya adalah mengadakan reformasi total. Mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya, dari tertindas dan terjajah jasad dan jiwa kepada menuju kemerdekaan, dari ketinggalan di belakang menuju kemodenan, dan dari kebiadaban peradaban menuju masyarakat yang bermaruah.
Rasulullah membawa aqidah yang tepat dan sempurna, akhlak mulia yang amat indahnya serta cara hidup yang berlandaskan syariat yang agung dan amat sesuai dengan fitrah.
Benarlah Firman Allah yang Maha Agung, "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) [Al Ahzab:33.21]
Rasulullah s.a.w Model Kecemerlangan
Rasulullah s.a.w adalah seorang manusia yang agung. Baginda adalah model dan ikutan sebenar yang telah memberi panduan kepada seluruh umat manusia dengan lengkap dan sempurna dalam seluruh aspek termasuklah dalam bidang pengurusan dan organisasi. Kelahiran baginda membawa rahmat ke seluruh alam, membawa ajaran yang suci menepati jiwa fitrah setiap makhluk, sesuai dan mendapat redha dari tuhan semesta alam.
Ajaran Islam yang suci membasmi fahaman serta kelakuan jahiliah, Ia menghancurkan kebatilan dan menegakkan kebenaran, mengubah kehidupan nomad yang berpindah-randah dengan berhijrah dan tinggal tetap di sesuatu tempat bagi mendirikan daulah Islamiah yang mempunyai prinsip kenegaraan yang telus, aman dan selesa. Sebuah negara yang didasari dengan undang-undang dan hukum-hukum Allah sebagaimana yang telah diwahyukan kepada baginda s.a.w.
Sebagai pemimpin pilihan Allah s.w.t, baginda s.a.w menjalankan segala tugas sebagai seorang Rasul dengan baik dan segala tindakan yang dilakukan adalah atas bimbingan wahyu. Ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam surah An Najmu ayat 3 dan 4 yang bermaksud: Dan tidaklah apa yang dilafazkan atas kehendak nafsunya. Ucapan itu tiada lain hanyalah wahyu yang telah diwahyukan melainkan ia atas bimbingan wahyu.
Di dalam amalan harian yang berkaitan dengan pengurusan dan organisasi, amalan organisasi yang utama dan terpenting yang diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w ialah sembahyang berjemaah. Ia menjadi kewajipan dan tunggak kepada ajaran Islam. Dengan melakukan sembahyang lima waktu secara berjemaah, ia merupakan satu sistem dunia dan akhirat yang tidak pernah diperkenalkan oleh mana-mana pemimpin dunia.
Melalui amalan solat berjemaah yang diperkenalkan ini setiap muslim akan mematuhi beberapa disiplin yang tertentu yang terkandung dalam solat seperti imam adalah sebagai ketua organisasi yang memimpin, sementara makmum akan mengikut segala pergerakan imam.
Di samping itu, sembahyang berjemaah dapat membentuk konsep perpaduan yang hakiki dan dapat mengeratkan silaturrahim, membentuk kemesraan dan kejituan dalam hubungan sesama muslim melalui barisan saf yang rapat dan lurus. Amalan yang diperkenalkan ini akan kekal hingga hari kiamat dan ia merupakan soalan pertama yang akan ditanya pada semua umat manusia pada hari kebangkitan kelak.
Sabda Rasulullah s.a.w, bermaksud: ‘Amalan yang pertama akan diperhitungkan oleh Allah s.w.t kepada hambanya pada hari kiamat ialah sembahyang.’
Baginda s.a.w telah memberi bentuk terjemahan dan panduan yang sempurna dan lengkap tentang hakikat Islam. Islam menekankan bahawa kehidupan ini hanyalah sementara dan matlamat utama adalah kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Ibadah zakat yang disyariatkan dalam Islam adalah bagi menghapuskan amalan riba oleh masyarakat. Islam memberi penekanan ke atas rezeki yang baik dan halal, membersihkan harta pendapatan dan membezakan antara rezeki yang halal dan yang haram. Kedua amalan ini adalah asas kepada organisasi sesuai dengan perintah Allah s.w.t yang sentiasa mengiringi perintah solat dan zakat ini secara bersama.
Maka dengan demikian, jika kita lihat dan fahami bahawa tidak ada amalan Rasulullah s.a.w yang tidak bermatlamat ke arah keredhaan Allah s.w.t. Usaha yang dilakukan adalah untuk mencapai mardhatillah. Tidak ada dalam saat hidup baginda di mana ia diabaikan tanpa sesuatu yang bermanfaat. Baginda menyedari bahawa inilah tugas utama baginda diutuskan oleh Allah s.w.t sebagai manusia agung. yang demikian, tugas dan tanggungjawab baginda ini adalah untuk menyelamatkan umatnya dari balasan Allah dengan menegakkan risalah ilahi secara prograsif dan terancang.
Dalam konteks pengurusan dan organisasi hari ini, keperluan utama bagi menjayakannya adalah sifat manusia itu sendiri seperti berakhlak mulia, amanah, jujur, ikhlas, beriltizam dan sebagainya. Maka sifat, akhlak mulia dan nilai yang telah ditonjolkan dan dizahirkan oleh Rasulullah s.a.w ini sememangnya adalah peribadi baginda sendiri yang diakui ulung dan unggul, yang merupakan seorang pemimpin organisasi Islam.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al Ahzab ayat 21, maksudnya: ‘Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w itu adalah contoh terbaik yang menjadi ikutan bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari akhirat,dan ingatlah Allah dengan sebanyak-banyaknya.’
Peribadi baginda adalah Al-Quran yang merupakan kalam Allah. Baginda sebelum diutus menjadi Rasul, adalah seorang yang sentiasa benar dalam tutur kata dan perbuatan, amanah dalam kehidupannya dan selepas menjadi Rasul baginda menjadi contoh ikutan. Maka penyempurnaan nilai, etika dan akhlak yang unggul dan terpuji akan dapat mengelakkan daripada sebarang sifat yang tercela yang sentiasa menjadi virus di dalam sesebuah organisasi. Dengan itu, akan lahirlah keberkatan dan melaluinya akan mendapat rahmat dan nikmat Allah s.w.t.
itu, contoh dan teladan yang baik adalah melalui Rasulullah s.a.w yang bekerja di dunia untuk mengejar akhirat dan beramal untuk akhirat dengan bekerja di dunia. Setiap muslim yang mukmin harus menyedari bahawa kita tidak dapat mencari akhirat melainkan dengan mengislahkan dunia dan tidak akan dapat sampai ke akhirat melainkan melalui jalan dunia. Kewajipan kita adalah untuk memakmurkan bumi Allah s.w.t serta menanam benih amalan agar dapat dituai di akhirat kelak.
Manusia sebenarnya mempunyai kekuatan roh yang boleh mengatasi segala halangan dan rintangan. Ramai di kalangan para sahabat yang dididik oleh Rasulullah s.a.w melaksanakan apa yang telah diajar dengan memikul amanah untuk memakmurkan bumi Allah s.w.t tanpa melupakan tanggungjawab sebagai seorang hamba dan anggota masyarakat yang mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan.
Antara yang menjadi keutamaan baginda s.a.w semasa mengetuai bidang pengurusan adalah terdiri dari 3 aspek, iaitu:
Aspek Keilmuan
Kemajuan ilmu adalah prasyarat mana-mana pembangunan sesuatu tamadun. Justeru itu umat yang ingin maju, budaya ilmu haruslah disebatikan di antara pemimpin (ulil amri) dan juga rakyat. Pemimpin yang berilmu akan meminpin ke arah yang benar dan di redhai Allah. Ia harus diberi peluang untuk membetulkan kesilapan dan ruang seluas-luasnya dan dengan sikap yang besungguh-sungguh untuk memimpin sudah pasti rakyat yang dipimpin akan menghormati dan menyanjung tinggi.
Ini adalah sebagai contoh yang ditunjukkan oleh baginda s.a.w. Kesilapan masyarakat kini mungkin adalah atas dasar sikap kurang prihatin terhadap nilai keilmuan sehingga terlalu mudah untuk melantik seorang pemimpin sedang masih terdapat banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki.
Aspek Kerohanian
Aspek ini merupakan satu lagi prasyarat penting dalam sesebuah pentadbiran dan pengurusan. Kerohanian ini bermaksud menekankan hubungan yang kukuh antara makhluk dengan pencipta (hablumminallah). Ini termasuk hubungan dari segi iktikad dan hubungan amalan yang sentiasa mantap dan dijiwai.
Saidina Umar pernah mengungkap kalimah yang menggambarkan peri pentingnya aspek kerohanian untuk menjamin sesuatu kemenangan dan untuk mendapat mardhatillahi. Maksudnya: ‘Kemenangan itu milik kamu adalah kerana ketaatan kamu kepada Allah dan kemaksiatan musuh Allah. Sekiranya kedua duanya melakukan maksiat maka keutamaan dan kekuatan itu milik musuh kamu.’
Aspek Syura
Kepimpinan yang bercirikan syura bermaksud memberi ruang kepada kebebasan memberi pendapat, mengkritik, membeza pendapat demi mencari formula terbaik untuk masalah ummah. Di antara sebab mengapa dunia Islam masih lagi mundur, lemah dan berpecah belah ialah kerana masalah kepimpinan berkualiti yang mampu menghayati ilmu, kerohanian dan syura.
Bagi menggambarkan betapa pentingnya sistem syura ini hatta ketika Rasulullah s.a.w wafat sekalipun para sahabat bersyura untuk memilih pemimpin yang terbaik di kalangan mereka. Khalifah Umar Abdul Aziz pula ketika dilantik menjadi khalifah, menyerahkan semula jawatan tersebut bagi membolehkan syura berlaku untuk memilih khalifah yang dipilih oleh rakyat bukannya dilantik oleh khalifah sebelumnya.
Rasulullah s.a.w adalah contoh pemimpin yang paling banyak bersyura, bagi menggambarkan begitu demokratiknya baginda ini. Seterusnya model pengurusan dan organisasi cemerlang yang diterapkan oleh Rasulullah s.a.w secara keseluruhannya meliputi rangka dakwah bil hal dengan prinsip-prinsip yang merangkumi:
1. Mengambil Allah dan Rasul-Nya sebagai sumber rujukan atau sandaran, punca kekuatan dan pengharapan.
2. Sentiasa sedar dan insaf akan tuntutan, amanah dan tugas serta tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi.
3. Bersedia untuk memberikan khidmat dalam mendedah, menyebar, melaksana dan menghayati Islam sebagai ad-din.
4. Berusaha mencari, menambah, menghayati dan menyebarkan ilmu serta pada masa yang sama menterjemahkannya ke dalam amalan seharian.
5. Bersedia untuk menyumbang dalam memberikan masa, tenaga, kemampuan intelek dan harta dalam usaha untuk pembangunan ummah.
6. Berusaha untuk menjadikan seluruh anggota (organisasi atau masyarakat) sebagai anggota yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.
7. Melaksana, memperbaiki dan berusaha meningkatkan amal ibadah samada yang khusus mahupun umum dalam rangka untuk menyubur dan mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan.
8. Sentiasa berusaha untuk menjadi manusia atau kakitangan atau pekerja yang boleh dicontohi oleh orang lain.
9. Berusaha untuk menjadi manusia atau kakitangan atau pekerja yang dapat mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dengan membina tamadun melalui perhidmatan atau sumbangan yang diberikan.
Justeru itu, penerapan nilai, etika dan akhlak dalam pengurusan membawa erti yang amat besar pada pihak pengurusan serta kakitangannya dalam mengurus atau mentadbir sesebuah organisasi yang mana Rasulullah s.a.w sendiri merupakan model yang cemerlang, mengurus dengan kekuatan hati dan akhlak mulia. Semoga dengan apa yang kita fahami akan dijadikan pengajaran. Insya-Allah.
SUMBER-SUMBER
PENGURUSAN ISLAM
SUMBER UTAMA : AL-QURAN & AL-SUNNAH
Definisi al-Quran :
Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat
Jibril secara berperingkat, membacanya
menjadi ibadah.
Ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan
pengurusan :
Ikatan perjanjian (kontrak) dan
tanggungjawab memenuhinya.
“ Wahai orang yang beriman, penuhi serta
sempurnakanlah perjanjian “
(al-Ma’idah : 1)
2. Penentuan matlamat organisasi dan nilai yang
jelas yang wajib diikuti.
“ Dan di antara mereka ada yang berdoa
dengan berkata : Wahai Tuhan kami! Berikanlah
kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di
akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka “
(al-Baqarah : 201)
3. Pemberian ganjaran.
“ Sesungguhnya tiada balasan bagi seseorang
melainkan apa yang diusahakannya “
(al-Najm : 39)
4. Komunikasi unggul dalam organisasi.
“ Apabila kamu diberi penghormatan dengan
suatu ucapan hormat maka balaslah
penghormatan itu dengan yang lebih baik
daripadanya, atau balaslah dia dengan cara yang
sama “
(al-Nisa’ : 86)
5. Pengurusan sumber manusia.
“ Salah seorang perempuan yang berdua itu berkata :
Wahai ayahku, ambillah dia menjadi orang upahan,
sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil
bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah “
(al-Qasas : 26)
6. Gesaan bekerja secara berjamaah, bekerjasama dan
tolong-menolong.
“ Dan hendaklah kamu bertolongan untuk membuat
kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu
bertolongan melakukan dosa dan pencerobohan “
(al-Ma’idah : 2)
3
7. Etika.
“ Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat
teladan yang baik “
(al-Ahzab : 4)
8. Persaudaraan.
“ Sesungguhnya orang mukmin adalah
bersaudara “
(al-Hujurat : 10)
9.Keadilan dalam urusan.
“ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku
adil dan berbuat kebajikan “
(al-Nahl : 90 )
10. Mempermudahkan urusan.
“ Allah sentiasa hendak meringankan beban
hukumnya daripada kamu, kerana manusia
dijadikan dalam keadaan lemah “
(al-Nisa’ : 29)
10.Konsep ibadah.
“ Allah menjadikan mati dan hidup supaya Dia
menguji kamu siapa antara kamu yang lebih baik
amalannya “
(al-Mulk : 21)
11. Penggunaan sumber.
“ Makan dan minumlah, dan janganlah berlebihlebihan
“
(al-A’araf : 31)
4
12. Kecekapan dan sistematik.
“ Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang
di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan
mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh “
(al-Saff : 4)
13. Perubahan.
“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada
pada suatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang
ada pada diri mereka sendiri “
(al-Ra’d : 11)
14. Konsep amar ma’ruf dan nahi mungkar.
“ Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami
berikan mereka kuasa memerintah di bumi
nescaya mereka mendirikan solat dan memberi
zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan
serta melarang dari melakukan kejahatan dan
perkara mungkar “
(al-Hajj : 41)
15. Larangan rasuah.
“ Dan jangan kamu menghulurkan harta kamu (memberi
rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan
(atau mengambil) sebahagian harta manusia dengan
berbuat dosa, padahal kamu mengetahui salahnya “
(al-Baqarah : 188)
16. Ketaatan.
“ Wahai orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan
taatlah kepada Rasul dan kepada Ulil Amr (orang yang
berkuasa) dari kalangan kamu “
(al-Nisa’ : 59)